Aku mengenali beberapa peribadi yang sangat aku kagumi. Aku katakan mereka adalah individu-individu yang hebat. Individu-individu yang faham dengan perintah dan larangan ALLAH swt. Individu-individu yang begitu komited dengan ajaran agama dan kehendak agama. Aku bersyukur kerana dalam kesempatan hidup ini berpeluang untuk mengenali dan bersahabat dengan mereka. Ingin aku ambil satu contoh di sini.
Dalam hal pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Kita jelas dengan nas-nas Al-Quran dan Al-Hadith yang menyuruh manusia agar menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Aku tidak ingin menyebutnya satu persatu di sini (actually tidak berapa ingat).
Dalam pada itu ada juga suruhan kepada amar ma'ruf wa nahyu mu'kar. Yang meletakkan kewajipan atas setiap Muslim mengikut kemampuan mereka. Dan suka juga aku tegaskan bahawa ia juga bergantung kepada tahap keimanan seseorang individu.
Aku timbulkan dua hal ini untuk menggambarkan bahawa keimanan yang mantap dalam diri seseorang individu akan menyebabkan dia tidak mampu untuk berdiam diri apabila berlaku kemaksiatan atau sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam. Jiwanya akan bergejolak untuk menentang kemungkaran tersebut. Jiwanya tidak mampu untuk bersabar dan berkompromi dalam hal-hal seperti ini. Keimanan yang sedemikian akan menghasilkan tindakan yang selaras dengan kehendak Islam. Namun begitu aku sudah cukup kagum dengan peribadi yang hatinya tidak akan tenteram apabila melihat perkara maksiat. Sesungguhnya membentuk hati yang sensitif dengan hal-hal kemaksiatan bukanlah perkara yang mudah. Dan itulah antara ciri yang ada dalam diri individu-individu yang aku kenali apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini. Sesungguhnya keimanan mereka sangat hebat.
Maksiat yang ingin aku fokuskan di sini adalah perbuatan couple antara lelaki dan wanita dan yang belum mempunyai ikatan yang sah.
Tetapi, aku tidak sehebat mana . . . aku tidak sehebat mereka . . .
Perasaan marah dan geram itu tidak mampu wujud dalam diri aku. Aku pasti kerana lemahnya iman yang membentengi diri aku. Aku sebaliknya merasa cemburu kepada pasangan kekasih yang berjalan berpegangan tangan dengan penuh mesra. Aku mencemburui pasangan kekasih yang ada tempat untuk mereka bermanja dan bergurau senda. Ada tempat untuk masing-masing meluahkan perasaan dan menghilangkan kesedihan yang di alamai. Aku cemburu apabila melihat pasangan yang begitu mesra membonceng bersama atau berjalan dengan kepala melentok ke bahu pasangannya. Aku cemburu apabila melihat mereka berbicara dengan kata-kata romantis dan begitu mengasyikkan. Dan aku pasti suasana itu sungguh menggembirakan. Dan secara tidak sedar aku sebenarnya ingin untuk turut melakukan hal yang demikian.
Aku pasti dengan rupa yang aku miliki, aku mampu untuk mempunyai pasangan. Aku pasti dengan kedudukan yang aku miliki, aku mampu untuk menambat hati seseorang. Aku pasti dengan sifat caring dan sedikit humor dalam diri aku, mampu untuk aku merapati seorang gadis untuk aku jadikan teman. Mudah untuk aku katakan adalah semuanya cukup pada diri aku untuk aku melakukan hal seperti mereka, bahkan lebih baik lagi.
Walaupun aku tidak sehebat mana, tetapi aku bukanlah selekeh sangat . . .
Tetapi keinginan dan kecemburuan, di tambah dengan kelebihan yang aku miliki belum cukup kuat untuk aku teruskan usaha aku. Bukanlah tertahannya niat aku itu kerana bentengan iman yang kuat dalam diri aku sehingga mengikis sifat-sifat yang telah aku sebutkan di atas. Bukanlah juga tertahannya niat aku itu kerana kekurangan pada diri aku yang membuatkan aku tidak mampu memiliki teman. Sesungguhnya, INGIN AKU TEGASKAN DI SINI bahawa niat aku itu tertahan hanya kerena PERBUATAN ITU TIDAK DI BENARKAN OLEH ALLAH SWT. HANYA KERANA LARANGAN ITU!!!. Atau untuk lebih mudah difahami, sekiranya perbuatan itu tidak menjadi larangan, maka aku pasti telah melakukannya. Dan tidak cukup sekadar itu, aku pasti akan menjadikan diri aku sebagai contoh ikutan orang lain. 'Malangnya' perbuatan itu telah termaktub sebagai LARANGAN DARI ALLAH SWT dan aku akan terus komited untuk tidak melakukannya HANYA KERANA LARANGAN ITU . . . Dan semua keinginan dan kelebihan yang ada pada diri aku belum cukup kuat untuk aku menentang larangan tersebut . . .
DAN AKU TIDAKLAH SEHEBAT MANA . . . untuk menentang larangan tersebut . . .
p/s:petikan ini ditaip oleh seseorang yang aku rasa cukup kuat untuk membuktikan bahawa kita bukannya siapa pun untuk menentang larangan tersebut dan aku akui yang aku masih tidak lari dari melakukan perkara-perkara yang mendorong ke arah itu.moga Allah berikan kekuatan untuk aku dan pembaca untuk terus menempuh dugaan CINTA ini dengan cara yang diizinkanNYa. Insya Allah